LONDON: Manchester City hanya menunggu masa untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris selepas melebarkan kedudukan pendahulu kepada 17 mata.
City merekodkan kemenangan ke-15 berturut-turut di tempat lawan dalam semua pertandingan selepas menundukkan Leicester City 2-0 awal pagi tadi.
Manchester United satu-satunya pasukan yang masih berpeluang mengejar City, dan Red Devils akan menentang Brighton hari ini dengan bermain kurang satu perlawanan.
Begitupun, skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer tampak sukar untuk menghalang anak-anak buah Pep Guardiola daripada meraih gelaran ketiga dalam empat musim.
Jaringan Benjamin Mendy dan Gabriel Jesus memusnahkan harapan penghuni tangga ketiga liga Leicester di Stadium King Power.
City yang memburu empat kejuaraan musim ini, akan bertemu Borussia Dortmund dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara esok.
“Ia langkah besar untuk memenangi Liga Perdana. Liga Perdana Inggeris adalah pertandingan paling indah untuk dimenangi.
“Ia memakan masa 11 bulan dan amat sukar. Kami amat hampir,” kata Guardiola. – AFP