PETALING JAYA: Menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) 2-1 di gelanggang lawan meletakkan Manchester City sebelah kaki ke final Liga Juara-Juara Eropah.
Ini merupakan peluang terbesar City untuk melangkah ke final buat kali pertama mereka apabila gol oleh Kevin De Bruyne dan Riyad Mahrez membolehkan mereka pulang selesa pada perlawanan pertama separuh akhir di Paris.
PSG mendahului dengan tandukan Marquinhos pada babak pertama, tetapi pasukan Mauricio Pochettino hilang kawalan selepas rehat dengan De Bruyne dan Mahrez menjaringkan gol dalam jarak lapan minit untuk memastikan kemenangan City yang ke-18 berturut-turut dalam semua pertandingan.
Naib juara tahun lalu PSG kemudian bermain dengan 10 orang apabila pemain tengahnya, Idrissa Gueye, dilayangkan kad merah pada minit ke-77 setelah mengasari Ilkay Gundogan secara melulu.
“Babak kedua jauh lebih baik; gol pertama ada sedikit bernasib baik, tetapi kami permainan kami agak hebat pada babak kedua, kami melakukannya dengan baik,” kata De Bruyne.
Selasa depan, Man City akan menantikan kunjungan PSG di Etihad.
“Pada separuh masa, saya mengatakan kepada para pemain bahawa kami harus menjadi diri sendiri. Kami harus lebih agresif, dan kami tidak membiarkan mereka bernafas setelah rehat,” kata Pengurus City, Pep Guardiola.