LONDON: Mohamed Salah berpeluang melenyapkan kritikan banyak pihak yang mempersoalkan kesetiaannya terhadap Liverpool apabila berdepan Real Madrid pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Estadio Alfredo esok.
Spekulasi Salah bakal meninggalkan Reds bertiup kencang dan mencetus kebimbangan penyokong, malah bintang Mesir itu juga tidak menolak kelab dari Sepanyol menjadi pilihannya.
“Saya harap dapat bermain untuk tempoh yang lama (bersama Liverpool), namun tiada siapa tahu apa akan berlaku pada masa depan, jadi mungkin satu hari nanti ya (berhijrah).
“Saya fikir Madrid dan Barcelona dua kelab utama,” katanya Disember lalu ketika ditanya oleh media Sepanyol apakah dia berminat bermain bersama kelab negara itu.
Begitupun bintang Liverpool itu tetap teruja untuk membalas dendam atas kekalahan 1-3 kepada Real di Kiev dalam final Liga Juara-Juara 2018.
Salah, 29, meninggalkan padang lebih awal dengan linangan air mata selepas dikasari oleh Sergio Ramos.
“Saya mempunyai motivasi tinggi untuk memenangi perlawanan ini dan membawa Liverpool ke separuh akhir,” kata Salah.
Liverpool dijangka kekal dengan formasi biasa mereka iaitu 4-3-3, yang mana Salah akan membentuk trio serangan bersama Sadio Mane dan mungkin Diogo Jota.
NANTIKAN KEJUTAN REAL
Ramos tidak akan beraksi dalam perlawanan ini kerana mengalami kecederaan ketika membawa cabaran Sepanyol dalam kelayakan Piala Dunia 2022.
Real juga tanpa Dani Carvajal dan Federico Valverde manakala situasi Eden Hazard masih 50-50.
Jika Reds dijangka kekal dengan formasi 4-3-3, Real yang sering menggunakan taktikal 3-5-2 dalam beberapa perlawanan mungkin turut memilih 4-3-3 ekoran ketiadaan beberapa tonggak akibat kecederaan.
Pengurus Los Blancos, Zinedine Zidane mungkin meletakkan Casemiro, Luka Modric dan Toni Kroos di bahagian tengah.
Penyerang veteran, Karim Benzema sekali lagi menjadi sandaran utama Real di jentera serangan dan dia mungkin disokong oleh Marco Asensio serta Vinicius Junior.