LIVERPOOL: Buat kali kedua berturut-turut Liverpool dikecewakan lagi oleh jaringan lewat permainan lawan, kali ini diikat 1-1 oleh Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris sebentar tadi.
Jika Selasa lalu Reds dinafikan kemenangan selepas Leeds United menyamakan kedudukan tiga minit sebelum tamat perlawanan, hari ini anak-anak buah Jurgen Klopp dikecewakan pula oleh gol Joe Willock, lima minit memasuki waktu kecederaan.
Liverpool yang memburu kelompok empat teratas liga bermula baik apabila Mohamed Salah meletakkan mereka di depan seawal minit ketiga di Anfield, iaitu gol ke-20 bintang Mesir itu musim ini.
Tuan rumah kemudian menguasai hampir 70 peratus permainan, berlegar-legar di kawasan lawan dan melancarkan 22 percubaan ke gawang Newcastle.
Malangnya, ketiadaan penyudah tajam menyebabkan kedudukan 1-0 kekal sehingga minit ke-90, dan ketika Reds memikirkan tiga mata sudah menjadi milik mereka, serangan balas lawan mengejutkan pasukan itu di hujung perlawanan.
Rembatan Willock terkena kaki Fabinho sebelum menuju ke arah yang tidak dijangkakan oleh penjaga gol Liverpool, Alisson.
Reds juga bernasib baik berjaya mengelak daripada kekalahan mengejut selepas gol penyamaan Callum Wilson beberapa minit sebelum itu dibatalkan oleh pengadil kerana bola sudah terkena tangan.
Keputusan seri kedua berturut-turut memberi tamparan hebat buat Liverpool dalam misi memburu kelompok empat teratas, slot automatik untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan.
Mereka kini menduduki tangga keenam dengan 54 mata, satu mata di belakang Chelsea dan West Ham yang memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.