LONDON: Liverpool percaya mereka memberi persaingan sengit dalam perebutan kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris selepas menang bergaya 3-0 ke atas Arsenal pagi tadi.
Dua gol Diogo Jota dan satu menerusi Mohamed Salah memberi kemenangan ketiga berturut-turut buat Reds di tempat lawan.
Anak-anak buah Jurgen Klopp hanya dua mata di belakang pasukan tangga keempat, Chelsea yang dikejutkan 2-5 oleh West Brom malam tadi.
Kemenangan itu menaikkan semangat Reds menjelang kunjungan ke Real Madrid dalam suku akhir Liga Juara-Juara, Rabu ini.
“Kami memberi mesej yang penting.
“Kami kena tunjukkan bahawa pasukan ini masih berjuang. Kami tidak boleh hanya bercakap tetapi kena buktikan di atas padang.
“Situasi kami sangat jelas. Kami perlu terus memenangi perlawanan dan beberapa pasukan pula perlu kalah. Kami kena berikan tekanan kepada mereka,” kata Klopp.
Biarpun menguasai permainan, Liverpool hanya memecah kebuntuan selepas 60 minit apabila Klopp memasukkan Jota menggantikan Andrew Robertson dan James Milner berpindah ke bek kiri.
Trent Alexander-Arnold yang mengejutkan banyak pihak apabila tidak disenaraikan oleh Gareth Southgate dalam skuad England pada kelayakan Piala Dunia 2022 turut cemerlang melakukan beberapa percubaan. – AGENSI