LONDON: Joe Cole yakin Liverpool akan mengalahkan Arsenal di Stadium Emirates esok dan melakukan ‘pecutan’ dalam baki perlawanan musim ini.
Juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu berdepan kesukaran musim ini dengan menghuni kedudukan ketujuh, 25 mata di belakang pendahulu, Manchester City.
Bagaimanapun skuad kendalian Jurgen Klopp berjaya ke suku akhir Liga Juara-Juara menewaskan RB Leipzig selain menumpaskan Wolverhampton pada aksi terakhir liga.
“Liverpool akan menang. Saya lihat aksi Arsenal beberapa minggu lalu, kurang meyakinkan.
“Saya percaya Liverpool akan melakukan pecutan dalam baki perlawanan musim ini,” kata bekas pemain England, Chelsea dan Liverpool itu.
Reds dijangka menggunakan formasi 4-4-3 dengan Diogo Jota bakal membentuk trio serangan bersama Mohamed Salah dan Sadio Mane.
Fabinho akhirnya kembali ke bahagian tengah, bergandingan dengan Georginio Wijnaldum serta Thiago Alcantara, manakala Nathaniel Phillips dan Ozan Kabak mungkin mengetuai bek tengah.
ARTETA WASPADA
Sementara itu, pengendali Arsenal, Mikel Arteta percaya, Liverpool pasukan yang bagus, namun beberapa isu menyebabkan mereka bergelut.
Reds beraksi tanpa Virgil van Dijk, Joe Gomez, Jordan Henderson, Joel Matip dan Jota untuk tempoh yang agak panjang.
“Jika mereka bukan terbaik, mereka kedua terbaik dan statistik menunjukkan kemampuan sebenar Liverpool,” katanya.
Gunners yang menghuni tangga kesembilan mungkin turun tanpa pemain tengah berusia 21 tahun, Emile Smith Rowe akibat kecederaan, manakala kelibat Bukayo Sako tidak kelihatan dalam latihan semalam.