LONDON: Liverpool mempertimbangkan untuk mengorak langkah mengejut dengan membawa balik penyerang Atletico Madrid, Luis Suarez ke Anfield musim depan, lapor saluran sukan Sepanyol, Deportes Cuatro.
Difahamkan, Suarez, 34, lebih berminat untuk kekal di Atletico, namun tiada klausa dalam kontraknya yang boleh menghalang penyerang Uruguay itu daripada meninggalkan kelab, sekali gus membolehkan rundingan dibuat pada bila-bila masa.
Reds dikatakan berminat mendapatkan khidmat pemain yang pernah menyarung jersi pasukan itu dari 2011 hingga 2014 sebagai pengganti Mohamed Salah sekiranya bintang Mesir tersebut meninggalkan kelab.
Kelab Liga Bola Sepak Utama (MLS) Amerika Syarikat (AS), Inter Miami turut dikaitkan dengan Suarez dan kekal sebagai alternatif pemain itu jika dia memilih untuk beralih angin ke AS.
Sejak meninggalkan Barcelona tahun lalu, Suarez mencatat impak positif di Atletico, malah muncul penjaring terbanyak pasukannya dalam saingan La Liga dengan mengumpul 19 gol.
Ketika menyertai Atletico, September lalu, kelab itu hanya membayar 6.3 juta pound (RM35.89 juta), namun prestasi terkini Suarez membolehkan nilainya naik kepada 13.5 juta pound (RM76.92 juta), menurut Transfermarkt.
Biarpun berada pada prestasi terbaik, namun mengambil kira usianya, ramai yang bimbang selama mana pemain itu boleh memberi sumbangan besar andai kembali ke Anfield.
Suarez juga mempunyai isu dengan penyokong Liverpool selepas dia diejek ketika beraksi di Anfield bersama Barcelona, dua tahun lalu.