LONDON: Liverpool bersedia mengeluarkan perbelanjaan besar untuk menandatangani pemain sayap Barcelona, Ousmane Dembele bagi menggantikan Sadio Mane, menurut laporan Fichajes.net.
Mane bergelut dengan prestasi musim ini dan hanya menjaringkan lima gol sepanjang 2021, namun permintaan untuk bintang Senegal itu dalam pasaran antarabangsa tetap tinggi.
Beberapa pasukan bersedia membayar harga tinggi bagi memiliki pemain berusia 29 tahun tersebut.
Liverpool dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk melepaskan Mane pada akhir musim ini tetapi perlu pengganti yang setanding dengannya, dan Dembele dilihat calon terbaik mengisi posisi tersebut di Anfield.
Pemain Perancis itu, hanya mempunyai baki kontrak setahun lagi bersama Barcelona dan belum menandatangani kontrak baharu bersama kelab itu meskipun perbincangan telah diadakan.
Keinginan Barcelona mahu mendapatkan Erling Haaland, menguatkan lagi spekulasi juara La Liga 26 kali itu akan melepaskan Dembele yang dibeli pada harga 97 juta pound (RM514.94 juta) , empat tahun lalu.
Dengan umur masih muda iaitu 23 tahun, Dembele dilihat pilihan terbaik Reds untuk menyesuaikan diri dengan sistem yang diterapkan Jurgen Klopp.
Selain Liverpool, Arsenal dan Manchester United dipercayai antara kelab yang mengikuti rapat perkembangan pemain yang memenangi Piala Dunia 2018 ketika dua kelab Inggeris itu sedia meningkatkan tawaran terhadap pemain itu. – AGENSI