Kontinjen Malaysia patuh peraturan penganjur Sukan Olimpik Tokyo - Utusan Malaysia

Kontinjen Malaysia patuh peraturan penganjur Sukan Olimpik Tokyo

AMINUDDIN Harun (tiga dari kiri) dan Ahmad Shapawi (kiri) melepaskan Program Jelajah Sokongan Kontinjen Road To Tokyo 2020 Peringkat Negeri Sembilan di Wisma Negeri, Seremban semalam. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 Tokyo bermula Julai ini akan mengikuti segala prosedur dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak penganjur termasuk keperluan untuk atlet perlu menjalani ujian Covid-19 setiap hari.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, untuk memastikan keselamatan atlet malah keselamatan penduduk di Jepun, menjadi tanggungjawab semua pihak termasuk kontinjen negara untuk mengikuti setiap peraturan ditetapkan penganjur.

“Peraturan ini telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), tidak boleh tidak kita kena patuh untuk memastikan keselammatan kita dan juga penduduk di Jepun.

“Kita kena pastikan bahawa kejohanan ini dapat dilangsungkan tanpa ada satu jangkitan (Covid-19) pun, tanpa penularan, ini semua tanggungjawab semua pihak terlibat,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Sokongan Kontinjen Road To Tokyo 2020 Peringkat Negeri Sembilan di Wisma Negeri semalam.

Program tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Kelmarin media melaporkan IOC, dan Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020, kerajaan Metropolitan Tokyo serta kerajaan Jepun mengeluarkan beberapa langkah tambahan bagi temasya itu antaranya peserta perlu menjalani dua ujian Covid-19 sebelum penerbangan mereka ke Jepun serta ujian harian bagi atlet serta orang yang berdekatan dengan kontinjen.

Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 mengumumkan bahawa para atlet perlu menjalani ujian Covid-19 setiap hari berbanding peraturan sebelum ini iaitu setiap empat hari.

Jelas Ahmad Shapawi lagi, pihaknya akan mengadakan taklimat lebih terperinci kepada semua atlet dan pegawai terlibat berkenaan perkara tersebut sebelum mereka bertolak ke Tokyo.

“Masih terlalu awal, keputusan tersebut juga berubah-ubah, jadi ini yang terbaharu, mungkin diperkenalkan lagi oleh jawatankuasa penganjur.

“Sama-sama kita lihat arahan terakhir, sebelum bertolak kita akan beri taklimat, kalau kita perlu tunggu ujian calitan (Covid-19) setiap hari pun kita akan buat dan terpaksa akan buat,” katanya lagi.

Sementara itu, tambah beliau, atlet negara sentiasa dalam keadaan bersedia termasuk sebarang keputusan didorong oleh situasi semasa bandar raya Olimpik, Tokyo juga sedang melalui perintah berkurung.

“Selagi tidak dibatalkan Sukan Olimpik 2020, selagi itulah kita kena sentiasa bersedia. Pada masa yang sama kita bersedia ke arah Sukan SEA 2021 pada bulan November dan Sukan Para ASEAN pada Disember,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya