KUALA NERUS: Jaringan cantik Makan Konate dua minit sebelum wisel penamat memastikan kemenangan Terengganu FC ke atas Kuala Lumpur City dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.
Keputusan 1-0 itu turut membolehkan tuan rumah naik ke tangga kedua liga dengan mengumpul 18 mata, lima mata di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dibantu sorakan hampir 3,000 penonton, Terengganu FC bermula garang pada minit keempat disusuli yang ketujuh.
Bagaimanapun, pelawat yang berjaya menyerap serangan Sang Penyu mula mengatur langkah dan nyaris mengejutkan tuan rumah menerusi sepakan leret Oswaldo Morales (m-27) namun terkena tiang.
Babak kedua dimulakan dengan Hakimi Abdullah melakukan rembatan deras dari sebelah kiri yang dinafikan Kevin Mendoza pada minit ke-47.
Percaturan pelawat memasukkan Indra Putra Mahyuddin hampir membuahkan hasil, malangnya tandukan pemain berpengalaman itu pada minit ke-75 ditangkap kemas Mohd. Suhaimi Husin.
Menuju 10 minit terakhir permainan, tuan rumah menggandakan serangan namun gerakan Konate diselamatkan Mendoza manakala hantaran mengelirukan Rahmat Makasuf terkena palang pada minit ke-82.
Penantian Sang Penyu berakhir pada minit ke-88 selepas Konate melepaskan sepakan jarak jauh untuk gol tunggal perlawanan, sekali gus menceriakan kem tuan rumah.