PETALING JAYA: Kuala Lumpur City (KL City) memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan menundukkan Sri Pahang 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Kapten KL City, Paolu Josue membuka tirai jaringan pada minit ke-18 selepas menerima hantaran lintang daripada Zhafri Yahya.
Pasukan tuan rumah menambah jaringan dan kali ini giliran Danial Ting mencipta nama sebagai penjaring pada minit ke-70.
Sri Pahang cuba bangkit menerusi ledakan Herold Goulon pada minit terakhir babak kedua namun ia sudah terlewat untuk menindak kemenangan skuad Bojan Hodak.
Sementara itu, aksi di Stadium UiTM, Shah Alam menyaksikan Melaka United (MU) bangkit daripada kekalahan kepada Penang FC untuk melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas UiTM.
Kapten pasukan, Sony Norde membuka tirai jaringan buat pasukan pelawat menerusi lencongan menarik untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Dominik Picak pada minit ke-36.
Bersambung babak kedua, giliran Stefan Nikolic mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-60 dan lima minit kemudian ledakan S. Kumaahran memastikan kemenangan selesa buat skuad Sang Kancil.