KOTA BHARU: Pengendali Kelantan FC, Marco Ragini akur dengan kegagalan pasukannya meraih tiga mata selepas tumbang 1-2 kepada Negeri Sembilan pada aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.
Ragini berkata, corak permainan pantas lawan pada enam minit pertama berjaya ‘memerangkap’ pasukannya apabila Negeri Sembilan berjaya meledakan jaringan awal pada perlawanan tersebut.
“Selepas dikejutkan dengan jaringan itu, saya mula menukar corak perlawanan dan akhirnya berjaya mengikat kedudukan menjadi 1-1 pada babak kedua.
“Ketika itu (selepas kedudukan terikat 1-1), kita telah beraksi dengan cukup baik dan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol,” katanya.
Kata Ragini, The Red Warriors (TRW) selepas itu mencipta banyak peluang namun dihampakan oleh ketumpulan barisan penyudah.
Katanya, jaringan kedua tuan rumah sedikit semangat telah ‘meragut’ moral barisan pemain TRW pada perlawanan tersebut.
“Tetapi saya bangga, semangat mereka tidak mudah ‘patah’. Sebaliknya cuba bangkit dengan beberapa peluang.
“Namun disebabkan masa yang suntuk, kita terpaksa menyerahkan kemenangan itu lawan,” ujarnya.
Pada perlawanan itu, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak muncul wira Negeri Sembilan apabila meledak dua gol untuk menewaskan Kelantan FC.
Gol saguhati Kelantan FC dijaringan oleh Mario Arques pada minit ke-54 menerusi sepakan voli menarik untuk menewaskan penjaga gol, Damien Lim.