KOTA BHARU: Kelantan FC kini ‘ligat’ memburu beberapa pemain baharu dalam usaha memperkuatkan pasukan bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Pemilik kelab, Norizam Tukiman berkata, pihaknya sedang mengenalpasti beberapa pemain untuk dibawa masuk pada pintu perpindahan kedua, Julai nanti.
“Ada beberapa posisi yang perlu diperkemaskan oleh Kelantan FC jika mahu melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Malaysia,” katanya dalam Majlis Pelancaran TRWPay di Hotel Zamburger Pengkalan Chepa, dekat sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Wan Roslan Wan Hamat.
Pelancaran sistem pembelian dalam talian TRWPay.com merupakan anjakan baharu dalam dunia bola sepak tempatan, sekali gus memudahkan peminat The Red Warriors (TRW) untuk membuat belian barangan keluaran pasukan itu.
Norizam atau Zamsaham memberitahu, Kelantan FC mempelawa mana-mana pemain yang berminat untuk menyarung jersi pasukan itu supaya tampil menghubungi pihak pengurusan.
Katanya, pihak pengurusan sedia melakukan perundingan untuk jendela perpindahan kedua itu nanti.