KOTA BHARU: Kelantan FC membuktikan mereka jagoan di negeri Che Siti Wan Kembang apabila berjaya menewaskan Kelantan United FC 2-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, sebentar tadi.
Kelantan FC yang turun sebagai pelawat terlebih dahulu bersorak gembira apabila memeperoleh jaringan pertama menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Jack Hindle pada minit ke-15.
Sepakan itu terhasil apabila pemain tuan rumah Mohamad Qayyum Marjoni Sabil membentes Muhammad Haziq Mohd. Subri dalam kotak penalti.
Lima minit berselang pelawat terlepas peluang untuk mengegar jaringan tuan apabila sepakan percuma Natanael Ringo hanya beberapa inci sahaja tersasar dari pintu gol tuan rumah meskipun Mohamad Fikri Che Soh sudahpun tertewas.
Tersentak dengan jaringan pelawat, Kelantan United cuba bangkit menerusi tandukan penyerang import mereka Gassama Alfusainey pada minit ke-38.
Menuju minit-minit akhir perlawanan, tuan rumah terus kecewa untuk mengikat kedudukan apabila sepakan percuma Mohamad Qayyum tinggi melewati gawang gol Kelantan FC.
Masuk babak kedua, tuan rumah dilihat bekerja keras untuk mendapatkan jaringan penyamanan namun ketumpulan penyudah menafikan hak tersebut.
Tuan rumah yang dilihat seolah-olah sedikit leka untuk mendapatkan jaringan penyamaan dikejutkan sepakan lintang Hindle pada minit ke-52 tetapi saya ia sekadar melintasi pintu gol tuan rumah sahaja.
Minit ke-63, Kelantan FC dirundung malang apabila Hindle yang diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan Abdul Rahman Wahab selepas menerima dua kad kuning akibat kekasaran dilakukan keatas Shuhei Fukai.
Walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain, Kelantan FC terus kental bertahan menahan asakan bertali arus tuan rumah.
Pemain gantian, Nurshamil Abd Ghani membunuh sisa-sisa perjuangan Kelantan United dengan meledakkan gol kedua The Red Warriors (TRW) pada masa tambahan babak kedua untuk mencuri tiga mata pada perlawanan tersebut.