IPOH: Jaringan Kpah Sherman 11 minit sebelum tamat permainan menafikan hajat Perak untuk meraih tiga mata selepas diikat 1-1 oleh Kedah dalam aksi Liga Super malam ini.
Kebimbangan yang sebelum ini disuarakan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy mengenai kemampuan Kedah untuk melakukan kebangkitan di hujung perlawanan nyata menjadi kenyataan.
Kedua-dua pasukan yang tumpas perlawanan terakhir liga tampil dengan permainan berhati-hati dalam usaha mengelak kekalahan.
Ketiadaan penyudah dan kurangnya percubaan menyebabkan babak pertama berakhir tanpa jaringan.
Bagaimanapun memasuki separuh masa kedua, Perak dan Kedah mula melancarkan serangan ke kubu.
Guilherme De Paula dan Careca beberapa kali mencemaskan kubu pelawat, manakala serangan Kedah dilancarkan oleh gandingan Sherman dan Tchetche Kipre .
Asakan bertali arus Bos Gaurus akhirnya membuahkan hasil apaba De Paula menanduk bola hantaran Careca pada minit ke-58.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kedah menunjukkan kesungguhan untuk mencari gol penyamaan dan mengatur serangan tetapi kubu tuan rumah nyata kebal.
Bagaimanapun, Sherman akhirnya menyamakan kedudukan apabila mudah menolak bola masuk melepasi Hafizul Hakim pada minit ke-79.
Kedua-dua terus berusaha mencari gol tambahan tetapi kedudukan kekal 1-1 sehingga wisel penamat. – UTUSAN