KUANTAN: Walaupun tumpas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super semalam, namun Dollah Salleh memuji semangat juang pemain muda Sri Pahang yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh 20 minit terakhir.
Kekalahan keenam daripada sembilan perlawanan musim ini menyebabkan Tok Gajah berada di zon penyingkiran dengan menduduki tangga kedua tercorot.
Dalam aksi di Stadium Darul Makmur itu, Pahang kehilangan seorang pemain di hujung permainan selepas Mohamad Ezanir diperintah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua pada minit ke-69.
“Saya bangga dengan pemain muda Sri Pahang yang terus memberi saingan, terutama pada babak kedua.
“Selepas beraksi dengan 10 pemain dan berjaya mendapat tempo, pemain saya berusaha menjaringkan gol dan hampir mendapatkannya,” katanya selepas perlawanan kelmarin.
Menurut Dollah, Sri Pahang nampak lebih bersemangat tetapi keputusan tidak menyebelahi tuan rumah.
Perlawanan nyata sengit dan tegang dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, diselang seli dengan beberapa kekasaran sehingga satu kad merah dan lima kad kuning dikeluarkan pengadil.
JDT memperoleh jaringan menerusi Leandro Velezque dan Bergson Da Silva, sekali gus untuk mengukuhkan kedudukan mereka selaku pendahulu.
Dalam perlawanan itu, Dollah turut menurunkan Abdul Malik Mat Arif yang baru dua hari bersama pasukan Tok Gajah setelah berehat panjang kerana penyakit misteri dan hasilnya amat memuaskan jurulatih itu.
“Selepas sembuh dari penyakitnya, Abdul Malik meminta diturunkan sekitar 15 minit tetapi saya beritahu dia khidmatnya diperlukan lebih awal.
“Selepas memasukkan Abdul Malik pada minit ke-60, banyak berlaku perubahan di bahagian serangan selain corak permainan Mohd. Sahrul Aizad juga dilihat semakin menyakinkan,” katanya.