Jaringan terpantas Cabrera jatuhkan moral PJ City - Utusan Malaysia

Jaringan terpantas Cabrera jatuhkan moral PJ City

GONZALO Gabriel meraikan gol jaringannya ketika membantu JDT menumpaskan Petaling Jaya City dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mampamer taring apabila menjadikan Petaling Jaya City (PJ City) mangsa terbaharu setelah mencatatkan kemenangan 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Kemenangan tersebut menyaksikan juara tujuh kali berturut-turut itu terus unggul di persada Liga Super dengan mengutip 20 mata menerusi lapan perlawanan, empat mata di hadapan Kedah.

PJ City hanya boleh menyalahkan diri sendiri apabila membenarkan pasukan tuan rumah meledak tiga gol pada babak pertama yang berpunca daripada kesilapan benteng pertahanan.

Gonzalo Cabrera mencatat gol terpantas Liga Super musim ini apabila memahat nama dalam senarai penjaring ketika perlawanan baru berusia 40 saat sebaik sepak mula.

Kesilapan K. Prabakaran membuang bola dari zon bahaya dipintas Leandro Velazquez lalu menghantar kepada S. Kunanlan yang membuat hantaran silang kepada Cabrera bagi menanduk masuk melepasi penjaga gawang, Kalamullah Al-hafiz Mat Rowi untuk meletakkan JDT di hadapan.

Prabakaran sekali lagi membuat kesilapan apabila hantaran lemahnya kepada rakan pasukan dipintas Syamer Kutty Abba yang membuat hantaran kepada Bergson Da Silva sebelum mencipta jaringan menerusi rembatan lerek dari luar kotak pada minit ke-20.

BERGSON Gustavo melakukan sepakan kencang untuk gol pertama JDT perlawanan Liga Super menentang Petaling Jaya City di Stadium Sultan Ibrahim malam ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Bergson hampir menambah jaringan tiga minit berselang namun rembatan jarak jauhnya pada minit ke-23 sedikit tersasar di bahagian kiri gawang.

Pasukan kendalian P. Maniam terus hilang punca setelah skuad Harimau Selatan yang beraksi garang membuat tekanan di bahagian depan.

Tekanan itu memaksa pasukan pelawat terus membuat kesilapan menerusi M. Youwarasan yang mẹmbuat hantaran ke belakang dipintas Cabrera sebelum melorong bola kepada Bergson untuk menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-30.

Rentak permainan PJ City yang serba tidak menjadi itu menyaksikan penjaga gol, Farizal Marlias langsung tidak teruji pada babak kedua.

Satu-satunya peluang yang direncanakan pasukan pelawat hadir menerusi percubaan S. Chandran namun rembatannya hanya menggegar jaring sisi gawang JDT.

Bersambung babak kedua, ketua jurulatih PJ City menukarkan formasi kepada 5-4-1 bagi memperkukuhkan benteng perlawanan dan mengelak terus dibolosi.

Setelah mendahului dengan kedudukan selesa, Benjamin Mora mengambil keputusan merehatkan pemain utama dengan membuat empat pertukaran dengan membawa masuk Hariss Harun, Afiq Fazail, Ramadhan Saifullah Usman dan Nazmi Faiz Mansor.

Sementara itu, PJ City yang menggunakan kesemua peluang pertukaran pada babak kedua tetap tidak berjaya untuk sekurang-kurangnya menjaringkan satu gol dan keputusan kekal sehingga ke wisel penamat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya