PETALING JAYA: Hasrat Sabah untuk memberikan hadiah istimewa buat penyokong mereka yang memasuki Stadium Likas buat kali pertama selepas lebih setahun tidak kesampaian apabila tumbang 1-4 kepada juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super sebentar tadi.
Kemenangan tersebut bukan saja melebarkan rekod tanpa kalah Harimau Selatan kepada tujuh perlawanan, malah membolehkan anak-anak buah Benjamin Mora mengukuhkan kedudukan pendahulu liga dengan mengumpul 17 mata.
Juara bertahan itu hanya memerlukan tujuh minit untuk membolosi gawang tuan rumah hasil rembatan kencang Arif Aiman Hanapi.
Seminit kemudian, giliran penyerang dari Brazil,Bergson Da Silva mencetak nama sebagai penjaring apabila mudah mengatasi penjaga gol Sabah, Robson Rendy untuk gol kedua buat pasukan Harimau Selatan.
Skuad Badak nyata gagal menggunakan kesempatan di laman sendiri apabila gagal membolosi gawang pelawat sehingga berakhir babak pertama.
Usaha anak buah Kurniawan Dwi Yulianto untuk merapatkan jurang gol akhirnya berjaya pada minit ke-58 selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan pertahanan JDT, Adam Nor Azlin.
Peluang itu tidak disia-siakan pemain tengah dari , Lewy Madinda apabila mudah mengelirukan Farizal Marlias.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad Benjamin Mora tidak menunggu lama untuk kembali menjarakkan kedudukan apabila sekali lagi Bergson menemui sasaran untuk jaringan keenam peribadinya pada musim ini dan ketiga buat JDT dalam perlawanan tersebut.
Skuad Harimau Selatan terus bernafsu untuk menambah jaringan di Likas, apabila tiba giliran Leandro menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-87 untuk gol keempat pasukan pelawat.