PETALING JAYA: Syarikat peruncit fesyen terkemuka tanah air, Pusat Pakaian Hari-Hari (PPHH) diumumkan sebagai penaja bersama Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.
Majlis menandatangani kontrak di antara wakil Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan bersama Pengarah PPHH, Syed Mohamed Sani Syed Kamarullbahrim di Wisma FAM hari ini.
PPHH yang menaja pasukan Liga Perdana, Kelantan United musim ini menandatangani perjanjian penajaan setahun bersama MFL dan kedua-dua pihak akan berunding kontrak lanjutan pada September 2021.
Dengan pengumuman ini, PPHH akan menjadi rakan penaja bagi Liga Super, Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala Cabaran bagi musim 2021.
Menurut Ab Ghani, beliau optimis kehadiran PPHH yang ditubuhkan sejak 1990 dan kini memiliki 85 cawangan di seluruh negara akan membuka pintu kepada lebih banyak syarikat lain yang berminat menaja Liga Malaysia di masa akan datang.
“Slogan kata ‘Hari-Hari’ di antara MFL dan PPHH berkongsi satu misi iaitu marilah kita semua sentiasa menyokong produk tempatan dan bola sepak kita pada setiap hari.
“Sudah tentu MFL menyambut baik di atas kehadiran PPHH yang menjadi salah satu rakan penaja Liga Malaysia di mana kami yakin PPHH telah membuat keputusan tepat untuk datang komersialkan produk mereka dalam Liga Malaysia.
“Industri bola sepak negara cukup besar dan saya percaya PPHH akan menjadi satu penanda aras terbaik kepada syarikat-syarikat lain untuk tampil menaja Liga Malaysia di mana potensi komersial dalam industri ini cukup besar.
“Semangat yang ditunjukkan oleh PPHH untuk bersama menyokong Liga Malaysia memberi petanda cukup baik ketika industri bola sepak terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Seperti yang kita lihat sambutan penonton bagi perlawanan Liga Super setakat 24 Mac lalu, lebih 18 juta penonton telah menyaksikan 30 perlawanan Liga Super sama ada menerusi siaran langsung di televisyen dan platform media sosial.
“Kini kita dapat merasai saingan Liga Malaysia semakin meriah dengan kebenaran kemasukan penonton ke stadium oleh kerajaan bermula 1 April 2021 di mana bakal memberikan lebih manfaat kepada penaja-penaja,” kata Ab Ghani dalam satu kenyataan hari ini.