IMOLA, Itali: Lewis Hamilton mengenepikan tentangan sengit Sergio Perez dalam Grand Prix Formula Satu (F1) Emilia Romagna hari ini untuk menyambar petak pertama buat kali ke-99.
Max Verstappen, naib juara di belakang Hamilton pada perlumbaan sulung 2021 di Bahrain bulan lalu akan bermula dari petak ketiga.
Pasukan Red Bulls nyata ancaman terbesar Mercedes musim ini apabila Hamilton mengatasi Perez hanya dengan kelebihan 0.035 saat, manakala Verstappen terus menghambat rapat.
Charles Leclerc pula memandu Ferrari ke tangga keempat, manakala rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas mencatat masa kelapan terpantas sesi kelayakan.
“Saya sama sekali tidak menyangka kami akan berada di depan dua pemandu Red Bulls.
“Mereka sangat pantas hujung minggu ini (sesi latihan) dan kadangkala mengatasi kami dengan catatan 0.6s.
“Bagaimanapun kereta kami bertambah baik minggu ini. Penghormatan buat pasukan yang telah bekerja keras,” kata Hamilton.