GEORGE TOWN: Kecederaan paha kanan tidak mematahkan semangat Herold Goulon untuk tetap beraksi membantu Sri Pahang ketika pasukan itu tewas 0-3 kepada Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya kelmarin.
Pemain kelahiran Perancis itu dilihat tidak mahu mengalah biarpun diasak bertubi-tubi oleh jentera serangan Penang dan tetap mempamerkan rentak cemerlang biarpun mula beraksi lewat 20 minit sebelum separuh masa pertama berakhir.
Goulon, 32, yang sebelum ini tidak dapat beraksi ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 16 April lalu sedaya upaya membantu benteng Sri Pahang biarpun dalam keadaan kesakitan akibat kecederaan yang dialaminya.
Ketua Jurulatihnya, Dollah Salleh berkata, dia mengakui kelemahan pasukan kendalian seawal 20 minit pertama tanpa ketiadaan pemain pertahannya itu.
“20 minit awal perlawanan, pemain agak kucar-kacir dan pasukan Penang FC telah mengambil kesempatan dengan menjaringkan gol pertama mereka.
“Saya terpaksa membuat keputusan memasukkan semula Goulon yang masih dalam senarai kecederaan dan nampak perubahan dalam pasukan apabila dia dilihat cuba membantu pasukan,” katanya di sini.
Dollah memberitahu, corak permainan pasukannnya mula mendapat rentak sejurus kemasukkan pemain pertahanan itu pada separuh masa kedua.
“Cuma, bahagian serangan masih jadi punca kepada pasukan Sri Pahang. Barisan pertahanan kita tak berapa risau sebab ada pemain import (Goulon). Kami tiada pemain lain kerana ramai yang cedera, saya kena terima,” ujarnya.
Sementara itu, pengendali Penang FC, Tomas Trucha pula memberitahu yang beliau berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pasukannya dan telah berusaha melakukan yang terbaik.
“Satu permulaan yang bertenaga, rentak yang lebih baik pada awal perlawanan. Pada masa sama, kami mahu berikan hiburan kepada penyokong. Ini yang kami sedang usahakan dalam sesi latihan.
“Jadi, saya yakin penyokong dapat menikmati permainan pasukan kami pada malam ini (kelmarin). Saya gembira dengan prestasi pemain dan gerak balas yang baik sehingga minit terakhir perlawanan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pasukannya akan cuba memberi persembahan yang cemerlang ketika menentang Terengganu nanti dan menyifatkan pasukan lawan itu adalah yang terbaik.