MANCHESTER: Phil Foden menenggelamkan tumpuan yang diberi kepada bintang muda Borussia Dortmund, Erling Haaland apabila meledak gol di minit terakhir untuk membantu Manchester City menang 2-1 pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara hari ini.
Jaringan Kevin de Bruyne seawal minit ke-19 memberi permulaan baik buat City di Stadium Etihad.
Bagaimanapun Haaland menyentap semangat tuan rumah apabila mencipta gerakan untuk gol penyamaan Dortmund yang disempurnakan oleh Marco Reus pada minit ke-84.
Ketika saingan bagaikan akan berakhir dengan keputusan seri, Foden, 21, menyudahkan hantaran cantik Ilkay Gundogan untuk menewaskan Marwin Hitz.
City bernasib baik membawa bekalan tipis apabila bertandang ke Dortmund pada 15 April depan kerana kelab Jerman itu berpeluang seri di Etihad.
Pengadil dari Romania, Ovidiu Hategan membuat keputusan kontroversi pada babak kedua apabila membatalkan jaringan Jude Bellingham.
Bellingham berjaya mengalahkan Ederson tetapi gol tersebut tidak dibenarkan kerana pengadil mendakwa berlaku pelanggaran di antara pemain remaja itu dengan penjaga gol City tersebut.
Begitupun, ulang tayang video menunjukkan Ederson yang menendang Bellingham, bahkan pengadil tidak membenarkan ‘campur tangan’ video bantuan pengadil (VAR).
Sebelum itu, VAR tidak memihak kepada City selepas sepakan penalti yang diberikan pada babak pertama dibatalkan.
“Saya mahu mengucapkan tahniah buat pemain kami. Mereka bersatu, berjuang dan akhirnya menang ke atas lawan yang sangat berkualiti.
“Saya tidak mahu mengulas mengenai mutu pengadilan hari ini,” kata pengendali City, Pep Guardiola.