LAUSANNE: Lapan daripada 12 bandar tuan rumah Kejohanan Eropah (Euro) membenarkan kemasukan penonton di stadium berdasarkan situasi semasa Covid-19, manakala empat lagi berisiko digugurkan sebagai tuan rumah.
Munich, Rome, Bilbao dan Dublin diberi masa sehingga 19 April depan untuk membentangkan perancangan membenarkan kemasukan penonton dengan badan bola sepak Eropah, UEFA berkata, keputusan muktamad akan diumumkan pada tarikh itu.
Jawatankuasa eksekutif UEFA akan bermesyuarat dan ada kemungkinan menggugurkan empat bandar itu daripada menjadi hos Euro, dan memberikannya kepada bandar sedia ada.
Awal minggu ini Persatuan Bola Sepak (FA) Ireland mengakui tidak dapat memberi jaminan kebenaran kemasukan penonton dalam jumlah yang minimum di Dublin.
Bagaimanapun negara itu sedang bersiap untuk mengambil langkah menarik semula arahan perintah berkurung yang bermula sejak Disember tahun lalu.
Bilbao pula berharap dapat membenarkan kemasukan 13,000 penonton di Stadium Sam Mames yang mempunyai 53,000 kapasiti.
Ia bagaimanapun bergantung kepada syarat ketat yang ditetapkan pihak berkuasa dengan Persekutuan Bola Sepak Sepanyol berkata, agak sukar untuk melihat kemasukan penonton.
Munich pula menyatakan mereka hanya membenarkan kemasukan penonton di Allianz Arena jika situasi bertambah baik manakala kerajaan Itali sudah memberikan lampu hijau kepada penyokong untuk hadir ke Rome.
Bulan lalu, Presiden UEFA, Aleksander Ceferin menyatakan dengan tegas beliau tidak mahu mana-mana perlawanan berlangsung di stadium kosong pada saingan Euro.
Kejohanan empat tahun sekali itu akan bermula dari 11 Jun sehingga 11 Julai ini selepas tertangguh selama setahun berikutan pandemik Covid-19. – AFP