LONDON: Selepas berhempas pulas dan menunggu sehingga minit ke-86 untuk mendapatkan gol, Arsenal mensia-siakan kelebihan tersebut apabila membenarkan Slavia Prague menyamakan kedudukan di waktu kecederaan dalam aksi suku akhir pertama Liga Europa yang berkesudahan seri 1-1 hari ini.
Pemain gantian, Nicolas Pepe memecah kebuntuan Arsenal empat minit sebelum tamat permainan pada malam yang menyaksikan banyak peluang dilepaskan oleh Gunners di Stadium Emirates.
Tandukan Tomas Holes untuk gol penyamaan Slavia menyukarkan skuad bimbingan Mikel Arteta apabila bertandang ke tempat lawan dalam aksi timbal balik, Jumaat depan.
“Kami mengawal perlawanan dan mendapat gol yang diperlukan tapi kami kini menyukarkan diri sendiri.
“Kami membenarkan lawan mendapat sepakan penjuru dan ketika itu apa saja boleh berlaku kerana terlalu ramai pemain berada dalam kotak penalti.
“Ia keputusan yang mengecewakan, semua pemain tidak gembira dan kami perlu bangkit,” kata Arteta kepada BT Sport.
Kata Arteta kemasukan pemain gantian merubah permainan pasukannya tetapi mereka gagal membawa bekalan selesa apabila bertandang ke Prague.
“Kami berdepan lawan yang bagus dan sangat sukar ditentang.
“Kini kami perlu ke tempat mereka dan menang. Kami pernah melakukan kebangkitan sebelum ini dan kami boleh lakukan sekali lagi,” kata Arteta. – AGENSI