BELGRADE: Pemain No. 1 dunia, Novak Djokovic berharap mendapatkan vaksin tidak menjadi satu kewajipan buat pemain.
Begitupun, pemain dari Serbia tidak memberitahu sama ada dia ingin mengambil atau tidak vaksin berkenaan yang merupakan inisiatif bagi menghalang penularan Covid-19.
“Saya masih lagi penyokong, semua orang bebas untuk membuat pilihan,” kata Djokovic selepas mara ke separuh akhir Jelajah ATP di Belgrade.
Ia adalah ibu negara Serbia di mana pertengahan tahun lalu Djokovic dan beberapa pemain lain diuji positif Covid-19 selepas penganjuran kejohanan pertunjukan yang penuh kontroversi.
Sama ada akan mengambil atau tidak vaksin bagi membolehkannya menyertai pertandingan, Djokovic 33 tahun enggan mengulas soal berkenaan.
“Saya saja yang tahu mengenai pilihan ini, saya rasa ia sangat peribadi. Saya tidak mahu dilabel atau dikenali sebagai penentang vaksin tapi harap ia tidaklah menjadi satu kewajipan,” kata Djokovic yang mengalahkan rakan senegara, Miomir Kecmanovic 6-1, 6-3 di suku akhir. – AFP