MADRID: Chelsea membawa bekalan gol di tempat lawan dan memberi tentangan sengit kepada Real Madrid selepas mengikat juara 13 kali itu 1-1 dalam separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Alfredo Di Stefano hari ini.
Blues mengejutkan Los Blancos dengan permainan agresif sebaik saja wisel ditiupkan sebelum membuka jaringan seawal minit ke-13 menerusi Christian Pulisic.
Pulisic menewaskan penjaga gol Real, Thibaut Courtois untuk memberi permulaan sempurna buat skuad bimbingan Thomas Tuchel dan muncul pemain Amerika Syarikat pertama meledak gol pada separuh akhir Liga Juara-Juara.
Berbanding Chelsea yang menampilkan ramai pemain muda dan mempamer aksi bertenaga, Real sebaliknya tampak agak ‘berusia’ dengan majoriti pemain melewati usia 30-an.
Bagaimanapun, pengalaman membantu Real melepasi waktu dengan penyerang berusia 34 tahun, Karim Benzema muncul penyelamat apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-29.
Tempo permainan sedikit perlahan pada babak kedua dengan kedua-dua pasukan tidak banyak melakukan percubaan.
Bekas bintang Chelsea, Eden Hazard dibawa masuk ketika permainan berbaki 25 minit, namun dia gagal membawa impak kepada Real.
Chelsea sebaliknya mengawal permainan biarpun tidak melakukan banyak percubaan bahaya dan kedudukan 1-1 kekal hingga tamat perlawanan.
Kedua-dua akan berentap sekali lagi pada separuh akhir kedua di Stamford Bridge, Khamis depan untuk memburu tiket final di Istanbul pada 29 Mei.
“Kami memulakan permainan dengan baik dan sangat agresif. Kami mempunyai banyak peluang pada babak pertama tetapi gagal disudahkan.
“Saya percaya, kami sepatutnya boleh menambah sekurang-kurangnya satu lagi gol dan pulang sebagai pemenang tapi apa yang berlaku, lawan menyamakan kedudukan hasil situasi bola mati.
“Ia agak mengecewakan tapi kami perlu kekal bertenang dan terus yakin. Pulang dengan keputusan seri 1-1, selepas ini kami perlu cuba memenangi perlawanan seterusnya,” kata Tuchel. – AGENSI