LONDON: Thomas Tuchel berkata, Chelsea ‘percaya kepada diri sendiri’ mereka mampu beraksi baik menentang Real Madrid dalam Liga Juara-Juara selepas menumpaskan West Ham pada perlawanan Liga Perdana Inggeris malam tadi.
Kemenangan 1-0 ke atas Hammers mengukuhkan kedudukan Blues dalam kelompok empat teratas.
Timo Werner meledak gol pertamanya sejak Februari, sekali gus memberi keyakinan buat Chelsea apabila bertandang ke Madrid untuk berdepan juara Eropah 13 kali, Real, Rabu ini.
“Ia perlawanan yang sangat istimewa. Mereka (Real) adalah kelab terbesar dalam Liga Juara-Juara sejak 10 tahun lalu.
“Bertandang ke tempat mereka dengan keyakinan tinggi dan percaya kami mampu memberi tentangan terbaik satu perasaan yang bagus,” kata Tuchel.
Ketika saingan berbaki lima perlawanan, Chelsea menduduki tangga keempat liga dengan tiga mata mengatasi West Ham.