SEVILLE: Chelsea kalah 0-1 dan tidak banyak melakukan percubaan tepat, namun kemenangan 2-0 dalam suku akhir pertama minggu lalu cukup untuk membawa Blues mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2014.
Voli cantik Mehdi Taremi pada waktu kecederaan membolehkan Porto menang dalam aksi timbal balik di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan hari ini.
Bagaimanapun skuad bimbingan Thomas Tuchel, Chelsea meneruskan kemaraan menerusi agregat 2-1.
Blues menunjukkan disiplin pertahanan yang tinggi sehinggalah pemain gantian, Taremi meledak gol cantik pada minit ke-93 untuk kemenangan Porto.
Kebangkitan yang cuba dilakukan kelab Portugal itu bagaimanapun sudah terlalu lewat.
Chelsea sebaliknya akan menjadi pasukan yang bakal menunggu Real Madrid atau Liverpool pada peringkat empat terbaik.
Biarpun mengawal permainan, namun Chelsea jarang mengancam kubu lawan terutama pada babak pertama.
Mason Mount dan Christian Pulisic tampak lebih bahaya di separuh akhir kedua tetapi gagal menembusi benteng lawan, sebaliknya Taremi melakukan sepakan gunting untuk gol tunggal perlawanan.