Bukan tak boleh sentuh pengadil langsung - Utusan Malaysia

Bukan tak boleh sentuh pengadil langsung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengadil perlawanan Liga Malaysia (Liga M) boleh disentuh oleh pemain tetapi semuanya bergantung kepada niat serta situasi semasa selain tidak bertujuan melakukan provokasi atau mendatangkan kecederaan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, bukan semua sentuhan pemain ke atas pengadil merupakan kesalahan atas dasar provokasi, kadang kala ada pemain memerlukan penjelasan berhubung sesetengah keadaan yang memaksa mereka menyentuh pengadil.

Katanya, ada beberapa senario dalam insiden melibatkan sentuhan namun semuanya bergantung kepada interpretasi pengadil perlawanan kerana semua pihak akan melihatnya daripada pelbagai sudut berbeza.

Dia memberitahu, pengalaman serta budi bicara pengadil juga memainkan peranan penting dalam mengawal keadaan kerana tidak semua sentuhan akan dikenakan tindakan dan semuanya bergantung kepada situasi ketika itu.

“Kadang-kadang ada sentuhan yang nampak kasar tetapi bagi pengadil perlawanan, tiada apa yang berlaku.

“Kami juga akan mendapatkan maklumat daripada pengadil sekiranya berlaku provokasi atau tidak dan dia sendiri akan menentukan sama ada berlaku kekerasan atau sebaliknya,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengadil FAM, semalam.

Sebelum ini, pemain tengah Kedah, Fadzrul Danel Mohd. Nizam kemungkinan dikenakan tindakan selepas menolak Noor Azriel Baharudin ketika aksi Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Darul Aman, pada 9 April lalu.

Selain Fadzrul, pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT) Gonzalo Cabrera dikatakan menyentuh pengadil sebanyak dua kali dalam perlawanan menentang Sri Pahang FC di Kuantan pada Jumaat lalu, namun hanya dilayangkan kad kuning.

Pemain tengah JDT, Natxo Insa juga turut melakukan perkara sama kepada Noor Azriel ketika aksi Liga Super menentang Perak FC di Stadium Perak, Ipoh pada 21 Mac lalu.

Selain itu, pemain Kelantan FC, Jack Hindle turut menolak pengadil Amirul Aizat Mohd. Lodin selepas pengadil itu dilihat menghadangnya daripada melakukan percubaan dalam kotak penalti dalam perlawanan Liga Perdana antara Kelantan FC dan Perak FC II pada 6 Mac lalu.

FAM sudah memberikan amaran keras kepada Hindle dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama, manakala Natxo berdepan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya