LONDON: Semua enam kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang terlibat dengan Liga Super Eropah (ESL) menarik diri secara rasmi hari ini.
Selepas menerima kecaman dan tekanan dari pelbagai sudut, Chelsea, Manchester City, Liverpool, Manchester United, Arsenal serta Tottenham akhirnya mengumumkan penarikan diri.
Chelsea dan City menjadi pasukan terawal melakukan pusingan-U. Blues menyuarakan hasrat menarik diri selepas perlawanan mereka menentang Brighton di Stamford Bridge pagi tadi dibayangi protes penyokong.
Kapten Liverpool, Jordan Henderson turut mengadakan mesyuarat tergempar bersama semua rakan sejawatannya di Liga Perdana bagi mengeluarkan kenyataan bersama menolak ESL.
Akhirnya, kesemua kelab berkenaan mengumumkan untuk membatalkan penyertaan mereka dalam liga kontroversi itu sebelum pukul 11 malam (6 pagi waktu Malaysia).
Presiden Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin menyambut baik keputusan ‘Big Six’ Liga Perdana itu dan percaya, banyak yang boleh ditawarkan mereka kepada bola sepak Eropah.
“Apa yang penting sekarang kita melangkah ke depan, membina semula penyatuan dan menikmati bola sepak seperti sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan apakah kedudukan enam lagi gergasi Eropah yang sebelum ini membentuk ESL iaitu Real Madrid, Barcelona dan Atletico Madrid (Sepanyol), selain Juventus, Inter Milan dan AC Milan dari Itali.
Pagi tadi, lebih 1,000 penyokong Chelsea berkumpul di luar Stamford Bridge, London untuk mengemukakan bantahan hingga memaksa Pengarah Teknikal, Petr Cech merayu mereka agar memberi laluan kepada pasukan untuk memasuki stadium.
Chelsea dan Brighton terikat 0-0 dalam aksi Liga Perdana tegang disebabkan isu ESL.