MADRID: Peluang Atletico Madrid untuk merangkul kejuaraan La Liga musim ini terancam selepas tumpas 0-1 kepada Sevilla hari ini.
Atletico masih menerajui liga, namun semakin diekori rapat oleh Real Madrid dan Barcelona.
Tandukan Marcos Acuna pada minit ke-70 sudah memadai untuk memberi tiga mata penuh buat Sevilla di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan.
Real yang mengalahkan Eibar 2-0 semalam hanya tiga mata di belakang Atletico, manakala Barcelona berpeluang merapatkan jurang kepada satu mata jika menumpaskan Real Valladolid pagi ini.
Beberapa kekalahan yang dialami Atletico menjadikan persaingan La Liga tiba-tiba terbuka sedangkan dua bulan lalu mereka mendahului dengan 10 mata.
Atletico hanya mampu mencatat empat kemenangan daripada 12 aksi terakhir, malah tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara.
Selepas menang tipis 1-0 ke atas kelab tangga tercorot, Alaves dua minggu lalu, Diego Simeone berharap pasukannya akan lebih segar apabila liga berehat untuk aksi antarabangsa.
Bagaimanapun mereka menerima satu lagi tamparan berdepan Sevilla, yang kini mengukuhkan tempat keempat. – AFP