KEKALAHAN pertama Johor Darul Ta’zim (JDT) sejak 2019 kepada Terengganu dalam aksi Liga Super, Sabtu lalu adalah bukti apa saja boleh berlaku dalam bola sepak.
Mungkin ramai beranggapan Harimau Selatan pasukan yang tidak mampu dikalahkan kerana menghimpunkan ramai pemain tempatan terbaik, selain memiliki import berkualiti jauh mengatasi pasukan-pasukan lain.
Begitupun sama seperti kelab utama dunia Bayern Munich, Real Madrid, Manchester City dan sebagainya, pasukan ini juga mempunyai ‘hari’ yang menyaksikan mereka tewas tanpa disangka.
Dalam aksi JDT-Terengganu, skuad Penyu bernasib baik selepas meraih gol kemenangan menerusi Hakimi Abdullah pada minit ke-57.
Harimau Selatan bekerja keras untuk bangkit menerusi serangan-serangan balas pantas, namun kurang bernasib baik.
Anak-anak buah Benjamin Mora juga lebih banyak menguasai permainan tetapi semua dilihat berubah selepas Mauricio dikeluarkan menyaksikan sedikit kelonggaran di benteng pertahanan.
Penjaring terbanyak Liga Super, Bergson da Silva kelihatan tidak berada pada prestasi terbaik apabila gagal memberi impak besar selain percubaannya agak meliar dalam perlawanan itu.
Dalam perlawanan itu juga, Mora menyuarakan rasa tidak puas hati dengan cara Terengganu yang banyak ‘berkampung’ di kawasan sendiri selepas mendapat gol, selain sengaja memperlahankan permainan.
Adakah menjadi satu dosa buat JDT kalah dalam perlawanan itu atau tewas pada aksi Liga Super lain selepas ini?
Sudah pasti tidak kerana mereka sudah membuktikan kemampuan sebenar menerusi koleksi kejuaraan sepanjang beberapa tahun dan satu kekalahan tidak akan merubah kualiti.
Jika ada pasukan boleh menyaingi JDT secara konsisten, itu perkembangan positif buat bola sepak negara.
Diharapkan lebih banyak pasukan boleh meniru model pembangunan gergasi selatan tanah air itu, yang bukan saja memiliki ramai pemain terbaik, malah kemudahan serta pengurusan kelas dunia.