PETALING JAYA: Kejohanan ESports Terbuka Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Johor 2021 berjaya menarik lebih 500 pelajar IPT termasuk belia Baru Pahat dan sekitar negeri Johor.
Pertandingan yang dijalankan secara talian bermula 5 hingga 10 April itu, mempertandingkan tiga acara utama iaitu Mobile Legend Bang Bang, PUBG Mobile dan FIFA 2021 bagi merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM14,000.00.
Pertandingan ini diadakan bertujuan untuk memperluaskan peranan ESports sebagai sukan yang boleh membangunkan minda masyarakat terutama dalam kalangan pelajar IPT dan belia di dalam negara.
Selain itu, ia berupaya membentuk kompetensi pelajar dan belia di samping menjadi medium kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menyampaikan maklumat berkaitan dasar dan program terkini KPT.
Majlis penyampaian hadiah dan penutup itu disempurnakan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Johan bagi PUBG kategori Terbuka IPT menjadi milik pasukan OFFWHITE (UTHM) yang berjaya membawa pulang wang tunai RM 1,500, medal, piala pusingan dan sijil.
Bagi PUBG kategori terbuka Johor, tempat pertama dirangkul pasukan INSURGENT dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000, medal, piala pusingan dan sijil.
Dalam pada itu, Mobile Legends kategori Tebuka IPT Johor, juara menjadi milik PIS PRIDE (Politeknik Ibrahim Sultan) membawa pulang wang tunai RM 1,500, medal, piala pusingan dan sijil.
Manakala, Mobile Legends kategori Tebuka Johor, pasukan LACOSTE muncul pemenang untuk membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000, medal, piala pusingan dan sijil.