LONDON: Presiden badan bola sepak Eropah, UEFA, Aleksander Ceferin mengesahkan kesemua 12 kelab yang terlibat dengan kontroversi Liga Super Eropah (ESL) akan dikenakan hukuman.
Bagaimanapun, dia bercadang untuk meringankan hukuman ‘Big Six’ kerana menjadi pasukan terawal menarik diri daripada liga itu.
Manchester City, Chelsea, Manchester United, Liverpool, Arsenal dan Tottenham menerima kecaman daripada pelbagai pihak dari seluruh dunia berhubung insiden itu termasuk protes daripada penyokong sendiri.
Caferin juga melabelkan Real Madrid, Barcelona dan Juventus sebagai golongan penyokong ‘bumi leper’ kerana masih percaya ESL akan diteruskan walaupun selepas Atletico Madrid, AC Milan dan Inter Milan menarik diri.
Difahamkan, Real, Barcelona dan Juventus akan dikenakan hukuman paling berat dan berkemungkinan dilarang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara, musim hadapan.
“Kita akan lihat selepas ini. Semua pihak harus bertanggungjawab dengan tindakan mereka.
“Bagi saya situasi kelab Inggeris sangat berbeza berbanding enam kelab lain, mereka menarik diri lebih awal dan mengakui kesilapan mereka.
“Kemudian tiga lagi kelab menarik diri (Atletico, AC Milan dan Inter) dan tiga lagi kelab yang merasakan ESL itu masih ada dan mereka ini sama seperti penyokong teori bumi leper,” katanya.-AGENSI