PETALING JAYA: Lee Zii Jia melakar kejutan terbesar dalam kejohanan badminton All England apabila menumpaskan pemain No. 1 dunia, Kento Momota sebentar tadi.
Perseorangan lelaki No. 1 negara itu menampilkan aksi luar biasa sejak awal permainan untuk menyingkirkan juara dunia dua kali, Momota 21-16, 21-19.
Ini kemenangan pertama Zii Jia, 23, ke atas pemain Jepun itu dalam tujuh pertemuan mereka.
Keputusan itu nyata menggembirakan ramai pihak, khususnya peminat yang sebelum ini kecewa dengan tiga aksi mengecewakan Zii Jia di Terbuka Thailand.
Zii jia kini berpeluang cerah ke final kejohanan bertaraf Super 1,000 itu apabila dia dijadual berdepan pemain Belanda, Mark Caljouw esok di separuh akhir.