Zii Jia pernah 'tipu' keluarga - Utusan Malaysia

Zii Jia pernah ‘tipu’ keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pernah jatuh tersembam dan diselubungi tekanan hebat, namun Lee Zii Jia akhirnya bangkit dengan merangkul gelaran badminton All England minggu lalu.

Kata Zii Jia kemenangan tidak hadir dengan mudah kerana dia perlu melawan emosi dan menguatkan mental selepas prestasi buruk dalam tiga siri perlawanan di Thailand pada Januari lalu.

Zii Jia mendedahkan, akibat terlalu tertekan dan mahu menjauhkan diri dari semua orang, dia terpaksa menipu ibu bapanya dengan mengatakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak memberi cuti untuk pulang menyambut Tahun Baharu Cina di Kedah bulan lalu.

MENEWASKAN jaguh Denmark, Viktor Axelsen dalam final All England, Ahad lalu.

Sebaliknya, pemain berusia 23 tahun itu terus berada di asrama BAM dan membuat latihan sendirian bagi memantapkan diri.

“Banyak masalah berlaku di Thailand. Saya dan jurulatih Hendrawan sangat tertekan.

“Saya macam tiada masa lapang untuk berehat, harihari tertekan (memikirkan siri kekalahan di Thailand).

“Saya cakap ‘macam mana nak kembalikan persembahan terbaik?’ Saya sangat bergelut waktu itu. Memang fikiran tengah kosong.

“Saya tipu keluarga cakap BAM tak bagi cuti, sebaliknya saya tinggal di asrama dan berlatih sendirian.

“Kalau balik raya Cina pun tiada ‘mood’ nak sambut. Memang selalu fikir itu sahaja,” katanya dalam sidang video semalam.

Selasa lalu, ibu Zii Jia, Leow Siet Peng mendedahkan, anaknya berdepan tekanan hebat selepas ‘diserang’ teruk di media sosial ekoran prestasi hambar.

Kata Siet Peng, kehilangan lima rakan seperjuangan iaitu Goh Soon Huat, Shevon Lai, Lai Pei Jing, Soniia Cheah serta Vivian Hoo yang digugurkan BAM juga mengganggu mental dan jiwa anaknya.

Mengulas lanjut, Zii Jia berkata, sejurus kemenangannya di Birmingham, Ahad lalu dia menghubungi jurulatih, Hendrawan untuk berkongsi kegembiraan.

“Kami bercerita tentang semua pahit manis. Dia kata jangan rasa puas lagi. Masih banyak cabaran yang akan dilalui pada masa depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya