Widad penaja utama Kedah Darul Aman FC - Utusan Malaysia

Widad penaja utama Kedah Darul Aman FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Syarikat Widad Business Group (Widad) dipilih menjadi penaja utama pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketika ini pihaknya masih belum mahu mendedahkan jumlah tajaan dengan beberapa rundingan masih dijalankan mengenai keperluan sebenar KDA FC.

“Secara keseluruhannya Widad telah bersetuju dan atas faktor itu, jenama ‘Widad Langkasuka’ diletakkan di bahagian depan jersi KDA FC yang dilancarkan hari ini.

“Jumlah tajaan Widad masih kita rahsiakan tetapi untuk makluman, sebelum ini pun syarikat itu telah menyumbang untuk membayar sebahagian daripada hutang KFA berjumlah RM4.5 juta,” katanya.

JERSI Kedah Darul Aman FC untuk musim 2021.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Widad merupakan syarikat yang dimiliki oleh anak jati Kedah, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah.

Syarikat itu banyak terlibat dalam bidang pengurusan kemudahan bersepadu, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan, perkhidmatan mekanikal dan elektrikal, pengurusan tenaga, pembangunan hartanah, pendidikan, perhotelan, akuakultur, minyak dan gas.

Malah pada 21 Januari lalu, Muhammad Sanusi turut memaklumkan bahawa negeri ini akan menerima pelaburan baharu mencecah RM40 bilion daripada Widad bagi projek berimpak tinggi dikenali sebagai Widad@Langkasuka di Langkawi.

Sementara itu Muhammad Sanusi tidak menolak kemungkinan Widad akan menjadi pemilik KDA FC pada masa akan datang.

“Ada kemungkinan mereka membeli saham KDA FC namun sebagai orang berniaga, mereka perlukan pasukan yang benar-benar bersedia. Oleh kerana mereka belum cukup persiapan, maka Widad minta jadi penaja utama dulu.

“Mereka minta masa untuk bersedia. Tahun ini mungkin mereka belajar dulu mengenai apa yang diperlukan dalam bola sepak dan mungkin paling cepat pada musim depan, mereka boleh bersedia untuk membeli saham pasukan,” katanya.

Tambahnya pada masa ini, Widad turut bersetuju untuk menanggung perbelanjaan yang diperlukan bagi menghadapi saingan Piala AFC musim ini.

“Untuk menghadapi saingan AFC, belanjanya cukup besar namun Widad telah bersetuju untuk menanggung perbelanjaan itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya