LOSAIL: Pelumba Yamaha, Maverick Vinales menamatkan dominasi Ducati untuk melakar kemenangan sensasi dalam perlumbaan sulung MotoGP 2021 di Grand Prix Qatar sebentar tadi.
Ducati memenangi dua perlumbaan terakhir di Qatar menerusi Andrea Dovizioso, namun Vinales menafikan hajat pasukan itu untuk melakar kemenangan hatrik biarpun diberi tentangan sengit oleh dua pelumba mereka.
Francesco Bagnaia yang memulakan perlumbaan dari petak pertama gagal memberi kemenangan buat Ducati apabila sekadar menghuni tangga ketiga.
Seorang lagi pelumba Ducati, Johann Zarco melengkapkan podium selaku naib juara, manakala juara dunia, Joan Mir dari Suzuki sekadar di tempat keempat.
Juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi dari Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) gagal memberi cabaran sengit dalam perlumbaan sulung dengan menduduki tangga ke-12.
Rakan sepasukan Rossi yang juga naib juara dunia musim lalu, Franco Morbidelli pula sekadar di tempat ke-18.