UniKL juara lagi! - Utusan Malaysia

UniKL juara lagi!

PEMAIN UniKL meraikan kejayaan muncul juara Liga Hoki Malaysia selepas menewaskan Maybank 1-0 di Bukit Jalil hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jaringan tunggal Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil membolehkan UniKL menjulang kejuaraan hatrik Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 selepas menumpaskan Maybank 1-0 hari ini, sekali gus menghampiri kejayaan treble musim ini.

Penyerang berpengalaman negara itu muncul wira UniKL selepas juara bertahan tersebut diikat hingga suku masa ketiga tanpa sebarang gol oleh Maybank, sebelum gol tersebut hadir pada minit ke-49.

Kejayaan tersebut turut mengukir sejarah UniKL apabila melengkapkan kempen 2021 dengan mengekalkan rekod tanpa kalah menerusi 19 mata keseluruhan.

Biarpun mendapat lima pukulan sudut penalti, UniKL gagal menembusi benteng Maybank yang nyata bermain baik dalam tiga suku pertama mengekang serangan demi serangan lawan mereka.

“Kami tidak bermain agak baik berbanding perlawanan-perlawanan lepas, tetapi yang penting ialah menang akhirnya. Maybank harus dipuji, nyata mereka lawan yang kuat,” kata Tajuddin.

Turun dengan reputasi sebagai pilihan utama dengan rekod tanpa kalah, skuad bimbingan Megat Azrafiq Megat Termizi terpaksa berhempas pulas sebelum dapat mengesahkan status juara.

Selepas kejayaan menjulang Piala Sumbangsih dan liga, sasaran UniKL untuk mencatatkan treble tampak cerah apabila meneruskan cabaran ke separuh akhir Piala TNB yang akan berlangsung secara timbal balik bermula Ahad ini.

UniKL, sebagai juara diundi bertemu pasukan yang menduduki tangga keempat.

Lebih manis, kejayaan UniKL hadir selepas UniKL Ladies turut menjulang Piala Liga wanita.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN