PETALING JAYA: Gol tunggal Dominique da Sylva memberikan kemenangan pertama buat pendatang baharu Liga Super, Kuala Lumpur City selepas menundukkan UiTM FC 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Da Sylva tidak menunggu lama untuk meledak gol pembukaan tuan rumah pada minit ke-14, sekali gus membolehkan skuad The City Boys bangkit daripada kekalahan kepada Pulau Pinang dalam aksi pertama.
UiTM FC sebaliknya masih gagal mengutip mata selepas dua perlawanan dan berisiko mengalami kekalahan hatrik kerana bakal berdepan juara tujuh kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan ketiga, Sabtu ini.
Kuala Lumpur yang dibimbing Bojan Hodak pula akan bertemu pasukan jiran, Selangor dalam perlawanan seterusnya.