LONDON: Sergio Aguero berkata, dia akan meninggalkan Manchester City dengan rasa bangga selepas mengecapi pelbagai kejayaan sepanjang sedekad bersama gergasi bola sepak Liga Perdana Inggeris itu.
City hari ini mengumumkan bintang penyerang Argentina itu bakal meninggalkan Etihad hujung musim ini sebaik sahaja kontraknya tamat Julai ini.
Aguero menyertai City dari Atletico Madrid pada 2011 dan meledak 257 gol dalam 384 penampilan, menjadikannya penjaring terbanyak skuad The Citizens.
Antara jaringannya yang paling istimewa adalah ketika mereka mengatasi pasukan jiran, Manchester United untuk membolehkan City dinobat sebagai juara Liga Perdana 2012.
“Apabila kitaran sampai ke penghujung, banyak perasaan timbul.
“Perasaan puas dan bangga kekal bersama saya apabila dapat bermain untuk Manchester City selama 10 musim penuh. Ia sesuatu yang luar biasa bagi seorang pemain profesional hari ini pada usia begini.
“Saya akan terus memberi sumbangan sehingga akhir musim bagi memenangi lebih banyak kejuaraan dan membawa kegembiraan buat penyokong,” kata Aguero.
Dalam satu kenyataan, pengerusi City Khaldoon Al Mubarak berkata, dia tidak mahu mengucapkan selamat tinggal sehingga Aguero meninggalkan kelab sambil mendedahkan bersetuju membina tugu penyerang itu.
“Sumbangan Sergio kepada Manchester City sepanjang 10 tahun lalu amat besar.
“Belum tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal. Masih banyak yang perlu dicapai.
“Sukacita saya maklumkan yang kami meminat pengukir membina tugu Sergio di Stadium Etihad,” kata Al Mubarak.
Pemain 32 tahun itu dijangkiti Covid-19 pada Januari lalu dan beraksi dalam 14 perlawanan untuk City musim ini, dengan tiga gol dijaringkan.
Aguero terlepas aksi di penghujung musim lalu dan permulaan musim ini akibat pembedahan lutut pada Jun tahun lalu. – AFP