Syamsul kecewa keputusan pengadil - Utusan Malaysia

Syamsul kecewa keputusan pengadil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua jurulatih Perak II, Syamsul Mohd. Saad kecewa dengan keputusan pengadil yang memberi impak kepada keputusan perlawanan sehingga menyaksikan pasukannya berputih mata untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.

Syamsul berkata, pengadil memberi lampu hijau buat pasukannya membuat dua pertukaran setelah seorang pemainnya sudah berada di luar padang dan terpaksa bermain dengan 10 orang buat seketika sehingga membawa kepada gol kemenangan pasukan tuan rumah dijaringkan Luis Cabrera.

Katanya, keputusan tersebut yang tidak berpihak kepada skuad kendaliannya menyebabkan moral pemain mula merudum dan menjejaskan rentak permainan biarpun mempamerkan aksi terbaik pada babak pertama.

“Seorang pemain saya yang cedera sudah berada di luar padang dan kami juga sudah bersedia untuk membawa masuk dua pemain. Dua kali bola keluar tapi kami masih tak dapat bawa masuk pemain gantian sedangkan mereka sudah bersedia di tepi garisan tengah.

“Mungkin ada kesilapan, masalah teknikal atau terlepas pandang, itu menyebabkan pemain mula hilang fokus dan semangat juang mereka turut direntap.

“Mungkin ini lumrah bola sepak, saya tak akan biarkan pemain saya terima kekalahan ini secara negatif,” katanya.

Walaupun kalah tipis, Syamsul berpuas hati dengan corak permainan yang ditonjolkan barisan pemain yang kesemuanya terdiri daripada pemain tempatan dan majoritinya adalah pemain Piala Presiden.

Katanya, perubahan formasi kepada 3-4-3 memberi keseimbangan di bahagian pertahanan tengah serta lebih teratur di bahagian tengah menyebabkan pemain lebih bebas untuk melancarkan serangan.

“Walaupun kalah 2-3 secara moralnya pasukan kami menang. Dengan bermain formasi yang baharu, kita berjaya mencapai prestasi yang kami mahukan.

“Dari segi corak permainan, saya cukup berpuas hati. Ini adalah persembahan kami paling cantik dari bertahan hingga menyerang, cuma keputusan akhirnya sahaja yang negatif,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya