PETALING JAYA: Selepas sekadar memanaskan bangku simpanan dalam tiga aksi pertama, ketiadaan Safawi Rasid akibat kecederaan bakal membuka peluang buat Mohamadou Sumareh mengisi kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila berdepan Selangor dalam saingan Liga Super malam ini.
Biarpun memiliki reputasi besar sebagai bintang Harimau Malaya, Sumareh perlu bersaing sengit untuk meraih tempat bersama pasukan baharunya.
Dua bintang sedang meningkat, Ramadhan Saifullah dan Arif Aiman Hanapi bakal menjadi pesaing utamanya, selain Akhyar Rashid.
Pengendali JDT, Benjamin Mora memiliki ramai pemain berkualiti untuk memastikan Harimau Selatan melakar kemenangan keempat berturut-turut, apatah lagi beraksi di gelanggang sendiri Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
“Saya bernasib baik kerana pemain kami sentiasa cemerlang bila diberi peluang. Semua (kejayaan JDT) berkenaan pemain dan saya hanya menaikkan keyakinan,” kata Mora.
Mora merehatkan beberapa tonggak ketika berdepan UiTM, Sabtu lalu sebagai fokus untuk menghadapi Selangor.
“Saya membuat perancangan selepas melakukan analisis terperinci pemain.
“Saya merehatkan Leandro Velazquez dan Afiq Fazail, manakala Naxto Insa hanya bermain sehingga minit ke-60. Gonzalo Cabrera dikeluarkan pada pertengahan separuh masa pertama,” kata Mora.
MENUNGGU ‘DNA JERMAN’
Selangor ke musim baharu dengan reputasi hebat apabila menggandingkan penjaring terbanyak Liga Super 2020 – Ifedayo Olusegun dan Shahrel Fikri Md. Fauzi, selain membawa ‘DNA Jerman’ dengan kehadiran jurulatih Karsten Neitzel.
Begitupun jentera penggempur Red Giants belum menyerlah selepas tiga perlawanan yang menyaksikan mereka menang sekali, kalah sekali dan seri dalam aksi terakhir.
Mereka memulakan musim dengan langkah kanan apabila menewaskan Sri Pahang 3-1, dengan dua gol dijaringkan Oliver Buff dan Shahrel membuka akaun pertama bersama pasukan baharu.
Begitupun anak-anak buah Neitzel gagal menjaringkan gol ketika tumpas 1-3 kepada Terengganu, dan memerlukan gol sendiri lawan dalam aksi terakhir yang berkesudahan seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City, Sabtu lalu.
Melihat prestasi semasa dan rekod pertemuan, JDT menjadi pilihan untuk mengalahkan Selangor.