BELGEADE: Cristiano Ronaldo yakin rembatannya telah melepasi garisan gol, namun tindakan pengadil tidak membenarkan jaringan tersebut bagaikan ‘merompak’ kemenangan Portugal dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022 hari ini.
Bintang Juventus itu sudahpun meraikan gol kemenangan Portugal tiga minit memasuki waktu kecederaan selepas rembatan rendahnya menembusi gawang lawan.
Bagaimanapun tanpa dapat merujuk video bantuan pengadil (VAR) atau teknologi garisan gol, pengadil dari Belanda, Danny Makkelie memutuskan pertahanan Serbia, Stefan Mitrovic berjaya mengeluarkan bola sebelum ia melepasi garisan meskipun ulang tayang jelas menunjukkan bola sudah melepasi garisan.
Perlawanan Kumpulan A itu yang tidak dilengkapi VAR atau teknologi garisan gol berakhir dengan seri 2-2.
“Menjadi kapten Portugal adalah penghormatan terbesar dalam karier saya dan saya sentiasa mahu memberikan yang terbaik kepada negara.
“Begitupun, ada masanya kami berdepan detik sukar terutama apabila saya rasa seluruh negara telah disakiti.
“Apa pun saya menyeru semua rakan-rakan lupakan detik ini. Bangkit untuk cabaran seterusnya,” katab Ronaldo.
Portugal yang menumpaskan Azerbaijan 1-0 dalam aksi pembukaan, Khamis lalu akan berdepan Luxembourg, Selasa ini.
Portugal bermula baik apabila penyerang Liverpool, Diogo Jota meledak dua gol untuk juara Eropah itu mendahului 2-0 pada babak pertama.
Bagaimanapun Aleksandar Mitrovic merapatkan jurang pada minit ke-46 sebelum Filip Kostic menyamakan 14 minit berselang.
Pemain tengah Portugal, Danilo Pereira turut terkejut dengan keputusan pengadil tidak membenarkan jaringan Ronaldo.
“Kami cuba mendapatkan gol ketiga dan berjaya melakukannya tetapi pengadil tidak membenarkannya meskipun pada pendapat saya jelas bola sudah masuk ke gawang gol,” katanya. – AGENSI