PETALING JAYA: Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia mahu menikmati suasana beraksi di final All England malam ini kerana ia adalah impiannya sejak zaman kanak-kanak.
Pemain berusia 23 tahun itu melangkah ke pentas akhir kejohanan badminton tertua dunia itu buat kali pertama dan bakal membuat perhitungan dengan juara bertahan dan bekas juara dunia , Viktor Axelsen.
Kedua-dua pemain akan bertemu buat kali kelima dalam karier mereka dengan rekod 3-1 berpihak kepada Axelsen. kali terakhir Zii Jia menang ke atas jaguh Denmark itu pada Terbuka Korea 2019.
Pemain kelahiran Alor Setar itu berkata, sejak kebelakangan ini keyakinannya semakin meningkat dan berharap ia dapat membantu dirinya untuk beraksi lebih baik khususnya dalam aksi final malam ini.
“Saya mahu menikmati situasi ini. Semua pemain sudah pasti mengimpikan aksi final All England sejak mula mereka bermain badminton, sama seperti saya.
“Pertemuan menentang Axelsen sememangnya sukar tetapi saya berharap rehat yang cukup dan keyakinan semasa di dalam gelanggang dapat membantu saya untuk melakar kejayaan,” katanya.
Zii Jia melangkah ke final kejohanan bertaraf Super 1,000 itu buat kali pertama selepas menewaskan Mark Caljouw dari Belanda 21-13, 21-17.
Axelson yang mengalahkan Zii Jia dalam separuh akhir All England tahun lalu mara selepas menewaskan rakan senegara, Anders Antonsen 16-21, 21-7, 21-17.
Kali terakhir Malaysia merangkul kejuaraan badminton tertua di dunia itu adalah pada 2017 menerusi Datuk Lee Chong Wei.