KUALA TERENGGANU: Pengendali Kelantan, Marco Ragini gembira dengan satu mata diraih ketika seri tanpa jaringan dengan Terengganu FC II dalam saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam tadi.
Menurut jurulatih kelahiran San Marino itu, keputusan 0-0 merupakan kemenangan berharga dengan ketiga di tempat lawan.
Ragini berkata, skuad The Red Warriors (TRW) berjaya mencuri mata walaupun tempang tanpa tujuh pemain utama ekoran kecederaan dan penggantungan perlawanan.
“Tujuh mata daripada tiga perlawanan di gelanggang lawan adalah keputusan baik untuk pasukan yang baharu dibentuk dan saya sangat gembira.
“Beraksi tanpa pemain penyerang utama, Jack Hindle, saya anggap satu mata ini seperti tiga mata,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.
Menurut Ragini, aksi 90 minit yang ditampilkan pemainnya masih berada di bawah tahap sebenar dan gagal beraksi mengikut perancangan.
Katanya, Kelantan membenarkan Terengganu FC II mendominasi permainan dengan penguasaan bola selain memberi banyak ruang kepada lawan untuk menyerang.
Katanya, tempoh lebih dua minggu sebelum kembali beraksi pada 3 April depan akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperkemaskan corak permainan TRW.
“Kami cuba bertahan dan melancarkan serangan balas, tetapi pemain menunggu terlalu lama sehingga perlawanan dikuasai tuan rumah,” katanya.