MILAN: Cristiano Ronaldo membalas kritikan terhadapnya dengan meledak hatrik pantas ketika membantu Juventus menundukkan Cagliari 3-1 pagi tadi, lima hari selepas tersingkir dari saingan kelab elit Eropah.
Bintang Portugal itu dikritik hebat kerana kurang menyerlah dalam kedua-dua aksi 16 akhir Liga Juara-Juara, malah dikatakan punca Porto memperoleh gol yang menyingkirkan mereka, Rabu lalu.
Bagaimanapun dalam aksi Serie A di Sardegna Arena pagi tadi, dia hanya memerlukan 32 minit untuk melengkapkan hatrik.
Ronaldo, 36, menanduk gol pertama pada minit ke-10 sebelum menyempurkan penalti 15 minit kemudian dan melengkapkan hatrik pada minit ke-32.
Juventus yang turun sebagai juara bertahan bagaimanapun masih ketinggalan jauh dengan 10 mata di belakang pendahulu, Inter Milan yang mengalahkan Torino 2-1.
Skuad bimbingan Andrea Pirlo itu hanya satu mata di belakang pasukan tangga kedua, AC Milan yang tewas 0-1 kepada Napoli di laman sendiri.
“Pendekatan kami tepat dan ia penting untuk kembali di landasan betul selepas tersingkir tempoh hari.
“Seperti rakan-rakannya yang lain, Ronaldo juga amat kecewa, jadi bertindak balas sebagai juara sebenar,” kata Pirlo.
Ronaldo kini mendahului senarai penjaring Serie A dengan 23 gol musim ini, mengatasi Romelu Lukaku pada 19 gol.
Rekod keseluruhan kariernya kini adalah 770 gol, mengatasi legenda Brazil Pele pada 767 gol dalam perlawanan rasmi yang berjaya ditandingi awal bulan ini. – AFP