MILAN: Manchester United dipaksa bekerja keras ketika menyingkirkan AC Milan di San Siro untuk mara ke suku akhir Liga Europa hari ini.
Sedar Milan memiliki kelebihan gol tempat lawan selepas aksi pertama di Old Trafford terikat 1-1, United agak tertekan di awal permainan hingga gagal mempamerkan persembahan terbaik.
Bagaimanapun Paul Pogba yang dibawa masuk dari bangku simpanan selepas kembali dari kecederaan muncul wira dengan meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-48.
Kemenangan 1-0 membolehkan United melangkah ke suku akhir secara agregat 2-1.
Dalam usaha mencari gol penyamaan, Milan memasukkan penyerang veteran Sweden yang juga bekas pemain United, Zlatan Ibrahimovic.
Ibrahimovic hampir menyamakan kedudukan, namun tandukkan jarak dekatnya sedikit melewati palang gol.
Pertahanan United dipaksa berhempas pulas di hujung permainan tetapi keputusan 1-0 kekal hingga tamat permainan. – AGENSI