LONDON: Pengendali Leicester City, Brendan Rodgers menyifatkan pertahanan rapuh pasukannya di awal permainan sebagai detik ‘mengerikan’ dan ‘buruk’ ketika mereka seri 1-1 dengan Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris hari ini.
Leicester terpaksa pulang dengan satu mata dari Turf Moor selepas membenarkan tuan rumah membuka jaringan seawal minit keempat menerusi Matej Vydra.
Jaringan cantik Kelechi Iheanacho, 30 minit kemudian menyelamatkan The Foxes daripada tumpas.
Kedua-dua pasukan beraksi hambar pada separuh masa kedua dan tiada ancaman dilancarkan ke gawang masing-masing.
“Gol yang mengerikan, persembahan yang teruk.
“Saya tidak fikir kami bermula baik pada kedua-dua babak tetapi mentaliti pasukan untuk cuba bangkit adalah perkara yang baik.
“Cara kami mengawal bola bagus dan secara fizikal, kami sudah melakukan segala yang termampu dalam perlawanan ini,” kata Rodgers kepada BBC.
Leicester kekal di tangga ketiga liga dengan 50 mata, satu mata di belakang pasukan tangga kedua, Manchester United.
Begitupun harapan untuk mengejar pendahulu, Manchester City semakin sukar selepas ketinggalan 15 mata. – AGENSI