KOTA BHARU: Semangat juang tinggi yang diperagakan ‘ubi muda’ Perak FC II memberi kesukaran kepada Kelantan United apabila mereka terpaksa berhempas pulas apabila hanya mampu meraih kemenangan tipis 2-1 dalan aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV semalam.
Pengendali Kelantan United, Akira Higashiyama menyifatkan Perak II amat ‘liat’ untuk dijinakan dan melakulan kebangkitan di babak kedua.
“Saya gembira kita meraih kemenangan walaupun menerima tentangan sengit.
“Kemenangan ini amat penting buat Kelantan United untuk mencari kedudukan terbaik dalam Liga Perdana musim 2021,” katanya.
Kata Akira, beliau berpuas hati dengan barisan pemain Kelantang United yang mula menunjukkan keserasian, sekali gus memudahkan beliau merangka variasi permainan selepas ini.
“Saya akan menilai semula perlawanan semalam untuk kita melihat aspek yang perlu diperbaiki kerana selepas ini kita akan menentang JDT II di laman sendiri Selasa depan,” ujarnya.
Dalam perlawanan itu, pemain import dari Gambia, Gassama Alfusainey mencipta rekod jaringan ‘terpantas’ Liga Malaysia musim ini apabila meledak gol hanya 36 saat selepas saingan bermula.
Amirul Shafiq Che Soh melengkapkan gol kedua Kelantan United lima minit selepas babak kedua bersambung.